Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) hari ini mengumumkan penetapan kadar tambang baharu bagi perkidmatan teksi akan berkuatkuasa dengan serta merta manakala bagi bas ekspres pula, bermula pada 15 Mei ini.

Menurut Pengerusinya, Tan Sri Syed Hamid Albar, penetapan kadar baharu itu adalah berikutan berlakunya kenaikan kos termasuk penyelenggaraan, insurans dan kos sara hidup.

Harga tambang kini tidak lagi relevan dengan kenaikan kos-kos tersebut, katanya dalam satu sidang akhbar hari ini.

Bagi teksi, kos penyelenggaraannya meningkat ke 33 peratus, manakala bagi bas ekspres sebanyak 36 peratus.

Menurutnya lagi, ramai yang mungkin tidak berpuas hati dengan keputusan ini, namun pertimbangan kadar tambang teksi dan bas tersebut perlu dilakukan bagi mengambil kira kepentingan pemandu teksi dan bas.

Beliau turut menjelaskan, dengan kenaikan tambang teksi ini, pemandu teksi boleh membeli teksi baharu bagi memberi keselesaan kepada penumpang dan memberi keselamatan yang lebih terjamin.

Syed Hamid Albar juga berkata, penetapan tersebut dilakukan selepas kali terakhir semakan kadar tambang teksi dan bas ekspres pada tahun 2009.

Bagi teksi, kadar baharu hanya tertakluk untuk perjalanan bagi Lembah Klang, Johor Bahru dan Pulau Pinang antara 25 sen sehingga seringgit 75 sen per kilometer.

Penetapan kadar tambang teksi baharu itu sekaligus menyaksikan peningkatan 40 peratus.

Mengambil contoh tambang teksi dari KL Sentral ke Bangsar sebelum ini RM6.50, kini ia meningkat kepada RM8.00.

Manakala tambang bagi perjalanan KL Sentral ke Petaling Jaya pula meningkat kepada RM14.30, berbanding RM10.80, sebelum ini.

Sementara itu, bagi bas ekspres pula, kenaikan untuk perjalanan seluruh negara antara RM4.60 sehingga RM11.00.

Sebelum ini, tambang bagi satu kilometer bagi perjalanan bas adalah 9.3 sen, kini ia meningkat kepada 11.4 sen menjadikan kenaikan keseluruhan sebanyak 2.1 sen.

Misalnya, tambang dari Kuala Lumpur ke Pulau Pinang, sebelum ini RM38.50, kini meningkat ke RM47.00.

Manakala, dari Kuala Lumpur ke Johor Bahru pula, RM42.80 berbanding tambang sebelum ini RM35.00.

Lain-lain kawasan yang terlibat dengan kenaikan tambang bas ini adalah Kangar, Kota Bharu, Alor Setar, Kuala Terengganu, Kuantan dan Ipoh..

Menurut SPAD, kenaikan tambang bas ini memberi jaminan pengurusan lebih baik termasuk penyelenggaraan, pemanduan cekap, pemantauan kelajuan dan kebersihan kenderaan.