Tutup

SPAN nafi tarif air naik

SPAN nafi tarif air naik
SPAN menafikan pernah mengeluarkan kenyataan bahawa kenaikan tarif air akan melebihi sekitar RM10 hingga RM15.
KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) menafikan pernah mengeluarkan kenyataan bahawa kenaikan tarif air akan melebihi sekitar RM10 hingga RM15 seperti yang dilaporkan sebuah akhbar tempatan berbahasa Cina hari ini.

Pengerusinya Charles Santiago berkata semasa sesi wawancara dengan akhbar, beliau sama sekali tidak menyebut sebarang peratusan atau harga kenaikan, sebaliknya hanya berkongsikan maklumat mengenai konsultasi awam yang sedang dijalankan berhubung proses berkenaan.
"Dalam wawancara itu saya berkongsi mengenai empat isu iaitu penjimatan air, mekanisme penetapan tarif air, pengurusan air adalah tanggungjawab bersama semua pihak dan polisi pencegahan rasuah demi mengurangkan tarif air," katanya dalam kenyataan hari ini.

Charles yang juga Anggota Parlimen Klang turut memperbetulkan laporan akhbar itu dengan mengatakan bahawa kali terakhir negeri Pahang menaikkan tarif air adalah 36 tahun lalu, bukannya 38 tahun seperti yang dilaporkan.
Beliau berkata pihaknya juga tidak mempunyai kuasa untuk membuat sebarang pengumuman mengenai kenaikan tarif air, kerana perkara tertakluk di bawah bidang kuasa Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, Dr A. Xavier Jayakumar.

"Hanya menteri terlibat berkuasa membuat sebarang pengumuman berkaitan dengan tarif air selepas mendapat persetujuan daripada kabinet dan kerajaan-kerajaan negeri berkaitan," katanya.

-- BERNAMA


Tag: Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara, SPAN, kenaikan tarif air, Charles Santiago, tarif air



Komen Anda?

* Klik pada "Sort by" untuk kemaskini komen

PENAFIAN:
Astro AWANI tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Terima kasih.