Aspek kasih sayang yang diterapkan di Sekolah Seri Puteri menjadi faktor penting yang mendorong pelajar merasakan sistem pembelajaran seperti sebuah hubungan erat sesama keluarga yang sebenar.

Pengetua Sekolah Seri Puteri, Nor Aishah Abdullah menjelaskan ia sekali gus mengelakkan pelajar berasa tersisih dan memungkinkan risiko fokus kepada pelajaran terganggu.

"Kita menekankan kasih sayang supaya pelajar tidak berasa tersisih daripada keluarga. Kita mahu mereka merasakan bahawa ini adalah keluarga mereka yang kedua.

"Oleh itu, saya sangat mengambil berat terhadap kebajikan mereka termasuk guru-guru," katanya semasa ditemui di Majlis Pengumuman Keputusan SPM di Sekolah Seri Puteri di sini hari ini.


Sekolah Seri Puteri mengekalkan prestasi sebagai kelompok sekolah terbaik dengan mencatatkan 58 orang calon mendapat A untuk keseluruhan subjek.

Lima lagi calon mendapat 9A+, seterusnya meletakkan sekolah itu antara enam Sekolah Berasrama Penuh (SBP) terbaik di negara ini.

Aspek kerohanian

Dalam pada itu, Suzana Abdu Wahab yang mendapat keputusan 9A mendedahkan bahawa aspek kerohanian sentiasa menjadi keutamaan dalam proses pembelajaran.

"Rahsia pertama saya ialah menjaga hubungan dengan Allah seperti solat cukup pada awal waktu. Saya juga mengamalkan solat dhuha setiap kali waktu rehat kerana saya percaya itu merupakan salah satu pintu rezeki," jelasnya.

Turut meluahkan rasa syukur ialah Anis Suraya Abdullah yang mendapat keputusan cemerlang 9A+.

Beliau menghadiahkan kejayaan itu kepada kedua orang tuanya yang tanpa jemu memberikan semangat kepadanya.

"Kejayaan ini adalah untuk ibu dan bapa saya yang banyak berkorban masa dan tenaga sejak saya kecil. Ini juga sebagai penghargaan kerana mereka tidak putus memberikan semangat kepada saya untuk terus maju dalam pelajaran," ujarnya.

Sekolah Seri Puteri mengekalkan rekod lima orang calon mendapat 9A+ dan masing-masing dihadiahkan telefon pintar iPhone 7 atas kejayaan tersebut.