Keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2017 menunjukkan lonjakan yang memberangsangkan dalam pencapaian sekolah luar bandar di Sabah, yang memperoleh kadar lulus sebanyak 87.06 peratus.

Pengarah Pendidikan Negeri, Datuk Maimunah Suhaibul berkata, pencapaian terbaik ini memperlihatkan prestasi membanggakan dan tahap pendidikan di luar bandar yang semakin meningkat dan berkesan.

"Sebanyak 211 sekolah terlibat dalam peperiksaan SPM 2017. Enam puluh satu daripadanya terletak di kawasan bandar dengan pencapaian lulus sebanyak 88.23 peratus, manakala 150 buah terletak di luar bandar, dengan pencapaian lulus 87.06 peratus.

"Paling membanggakan saya, banyak sekolah luar bandar telah mencapai pencapaian yang begitu baik sekali," katanya sambil menambah, lapan buah sekolah yang diumumkan mengalami lonjakan hari ini terletak di luar bandar.

Katanya, keputusan SPM tahun ini menunjukkan jurang perbezaan lulus yang kecil antara sekolah bandar dan luar bandar, iaitu sebanyak 1.17 peratus.

Maimunah berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Pengumuman Keputusan Peperiksaan SPM 2017 di Sekolah Menengah All Saints, Kota Kinabalu, hari ini.

Sementara itu, keputusan SPM bagi negeri Sabah tahun 2017 turut menunjukkan peningkatan dari segi Gred Purata Negeri (GPN) sebanyak 5.51 berbanding 5.64 pada tahun 2016 - naik 0.13 - sekali gus mempamerkan kesan positif sistem pendidikan di negeri ini.

"Dari segi peratus, menunjukkan peningkatan 86.20 peratus pada 2017 berbanding 85.91 peratus pada 2016, iaitu naik sebanyak 0.29 peratus. Ini merupakan pencapaian terbaik bagi negeri Sabah.

"Lebih membanggakan, bilangan calon yang lulus semua mata pelajaran - sekurang-kurangnya gred E dalam mata pelajaran yang diambil - menunjukkan peningkatan 2.28 peratus, kepada 50.88 peratus, berbanding 2016," katanya.

Keputusan SPM 2017 turut menyaksikan seramai 151 calon berjaya memperoleh gred A untuk semua subjek yang diambil, berbanding 113 orang pada 2016 - peningkatan seramai 38 orang.