Spotify antara yang bakal dikenakan Cukai Perkhidmatan

Spotify antara yang bakal dikenakan Cukai Perkhidmatan
Bagi perkhidmatan atas talian yang diimport oleh pengguna, penyedia perkhidmatan asing akan dikehendaki berdaftar dengan Kastam. - Gambar hiasan
KUALA LUMPUR: Perkhidmatan penstriman muzik dan video serta platform perdagangan elektronik syarikat antarabangsa akan dikenakan cukai perkhidmatan.

Ini secara tidak langsung termasuk perkhidmatan penstriman seperti Netflix dan Spotify selain medium e-dagang seperti Alibaba.

Langkah cukai perkhidmatan itu adalah antara yang dibentangkan dalam Belanjawan 2019 oleh Menteri Kewangan Lim Guan Eng di Dewan Rakyat di sini hari ini.
“Bagi perkhidmatan atas talian yang diimport oleh pengguna, penyedia perkhidmatan asing akan dikehendaki berdaftar dengan Kastam.

“Ia juga akan dikenakan cukai dan remit cukai perkhidmatan yang berkaitan berkuatkuasa mulai 1 Januari 2020. Contoh perkhidmatan ini termasuk perisian, muzik, video atau sebarang pengiklanan digital,” ujar beliau.

Tambah Guan Eng, langkah percukaian ini akan mengimbangkan persaingan antara peruncit kedai dan kedai atas talian, terutamanya kedai atas talian yang dimiliki oleh syarikat luar negeri.

Sementara itu, perkhidmatan yang diimport mahu dikenakan cukai perkhidmatan untuk memastikan penyedia perkhidmatan tempatan seperti perkhidmatan arkitek, reka bentuk grafik, teknologi maklumat dan reka bentuk kejuruteraan mendapat persaingan yang adil mulai 1 Januari 2019.

Dalam pembentangannya, Guan Eng berkata, Jawatankuasa Pembaharuan Cukai telah ditubuhkan pada September 2018 untuk mengenal pasti langkah-langkah penambahbaikan sistem percukaian yang lebih progresif dan berkesan.

Tag: cukai perkhidmatan, bajet 2019, belanjawan 2019, netflix, spotify, atas talian


Komen Anda?

* Klik pada "Sort by" untuk kemaskini komen

PENAFIAN:
Astro AWANI tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Terima kasih.