Jawatankuasa Khas Pembaikan Sistem Dan Undang-Undang Pilihan Raya sedang mengkaji cadangan agar Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengambil alih tugas mendaftar parti politik daripada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS).

Pengerusinya, Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman berkata, cadangan itu adalah kerangka undang-undang dalam 15 agenda pembaikan yang dibuat jawatankuasa berkenaan.

“Kami sedang meneliti perkara itu. Kemungkinan mengambil alih kuasa dari RoS itu kerana melibatkan semua tanggungjawab. Oleh sebab itu saya cakap awal tadi kita betul-betul nak satu organisasi SPR yang kuat dan boleh menyediakan proses pilihan raya yang boleh dipercayai," katanya dalam sidang media di Pejabat Jabatan Perdana Menteri, di sini hari ini.

Jelasnya, apabila SPR diberi kuasa untuk mendaftar parti politik, maka suruhanjaya itu juga akan bertanggungjawab mengawal selia parti berkenaan.

“Kita nak ada undang-undang supaya SPR ada kuasa nak daftar parti politik dan kawal selia parti politik ini apabila ia daftar ia ada kuasa untuk kawal selia,” kata beliau.

Kesemua 15 agenda itu masih di peringkat kajian dan akan digariskan sepenuhnya dalam laporan cadangan.

1. Mengkaji sistem-sistem pilihanraya yang sesuai sebagai langkah pembaikan, kepada sistem “first-past-the-post” yang sedia ada, sekiranya perlu.

2. Menubuhkan kerangka undang-undang yang sesuai untuk penubuhan sebuah badan pengurusan pilihan raya yang teguh dan sempurna.

3. Mewujudkan kerangka undang-undang yang sesuai untuk diguna pakai bagi melaksanakan tugas-tugaspersempadanan bahagian-bahagian pilihanraya dan hal-hal yang berkaitan dengannya.

4. Mengkaji kaedah pendaftaran pemilih, termasuk kelayakan-kelayakan untuk menjadi pemilih dan kaedah yang terbaik bagi penyediaan daftar-daftar pemilih yang kemas dan sempurna.

5. Mewujudkan kerangka undang-undang untukmendaftar dan mengawal-selia parti-parti politik dan badan-badan atau pihak yang layak untuk mengambil bahagian dalam pilihanraya atau aktiviti-aktiviti yang bersangkutan dengannya.

6. Mengadakan kerangka undang-undang untukmewujudkan mekanisma bagi menjalankan kempen, kawalan kempen dan kod etika yang perlu wujud dalam pilihan raya.

7. Perbelanjaan Pilihanraya melibatkan pertama, kewangan dan perbelanjaan kempen, kebenaran, kawalan dan penguatkuasaan, kedua, Sumbangan kerajaan atau awam, dan ketiga, sumbangan swasta dan masyarakat.

8. Kerangka undang-undang mengawal kebebasan bersuara dan peranan serta akses kepada media awam dan swasta.

9. Menyediakan kerangka undang-undang meliputi proses perjalanan pilihanraya termasuk pembubaran Dewan-dewan Perundangan dan penetapan tarikh-tarikh pilihanraya, penamaan calon, pengundian, pengiraan dan penjumlahan undi, serta pengistiharan keputusan pilihan raya.

10. Code of Conduct atau panduan tata kelakuanparti-parti politik dan calon-calon dalam musim pilihan raya.

11. Kerangka undang-undang meliputi urusan pemerhati pilihanraya tempatan dan antarabangsa.

12. Kerangka undang-undang meliputi bidang penguatkuasaan undang-undang oleh badan pentadbiran pilihanraya dan ketaatan pihak partidan calon-calon.

13. Kerangka undang-undang mengenai peraturandan tatacara penubuhan kerajaan sementara selepas pembubaran Parlimen dan/ atau Dewan-dewan Perundangan Negeri.

14. Kerangka undang-undang mengenai pendaftaran parti-parti politik dan kawalan keatas aktiviti partipolitik

15. Kerangka undang-undang meliputi kerjasama danpengambilan bahagian badan-badan lain, termasuk Awam dan Swasta meliputi hal ehwal keselamatan, penguatkuasaan undang-undang, ketaatan pihak-pihak yang berkepentingan kepada peraturan dan undang-undang, serta keadaan keselamatan dan darurat.