Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan mengadakan mesyuarat khas pada Jumaat ini bagi membincangkan tarikh-tarikh penting Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Sandakan.

Setiausaha SPR Datuk Mohamed Elias Abu Bakar dalam kenyataan pada Isnin berkata suruhanjaya itu telah menerima pemakluman rasmi daripada Speaker Dewan Rakyat Datuk Mohamad Ariff Md Yusof pada 29 Mac lepas berhubung kekosongan luar jangka kerusi tersebut.

Mohamed Elias berkata mesyuarat khas itu akan dipengerusikan oleh Pengerusi SPR Azhar Azizan Harun.

"Mesyuarat itu bagi membincangkan tarikh-tarikh penting PRK seperti tarikh writ pilihan raya, hari penamaan calon, hari pengundian dan daftar pemilih yang akan digunakan dalam pilihan raya itu dan persiapan-persiapan lain yang diperlukan bagi melaksanakan pilihan raya tersebut," katanya.

Kerusi Parlimen Sandakan kosong berikutan kematian penyandangnya Datuk Wong Tien Fatt @ Wong Nyuk Foh, yang juga Menteri Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, pada 28 Mac lepas di Hospital Queen Elizabeth Kota Kinabalu.

-- BERNAMA