Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan mula menyiasat dakwaan pindaan Laporan Akhir Pengauditan 1 Malaysia Development Berhad (1MDB) yang didedahkan baru-baru ini.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Azam Baki mengesahkan perkara tersebut dan menyatakan akan memanggil beberapa saksi bermula esok.

“Siasatan baru dimulakan dan sesiapa sahaja akan dipanggil untuk membantu siasatan, esok dan lusa akan ada beberapa saksi dipanggil,” katanya kepada Astro AWANI di sini, hari ini.

Terdahulu, SPRM dalam satu kenyataan hari ini berkata pihaknya telah meneliti dokumen asal laporan tersebut untuk dibandingkan dengan draf akhir yang telah dikeluarkan oleh Jabatan Audit Negara.

Sementara itu, Ketua Audit Negara, Tan Sri Dr. Madinah Mohamad mendedahkan Laporan Akhir Pengauditan 1MDB telah diubah dan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak tahu tentang perkara tersebut.

Beliau berkata, dua perkara penting yang tidak dimasukkan dalam laporan itu adalah mengenai kehadiran ahli perniagaan yang diburu Low Taek Jho atau Jho Low dalam satu mesyuarat Lembaga Pengarah 1MDB dan berkenaan status kewangan 1MDB.

Madinah berkata, perkara itu diarahkan bekas Ketua Setiausaha Sulit kepada bekas Perdana Menteri, Tan Sri Shukry Salleh pada 26 Februari 2016 atas alasan ia sensitif dan untuk mengelak fakta diputar belit oleh pihak pembangkang ketika itu.

Madinah berkata, beliau telah menyampaikan taklimat kepada mesyuarat Jemaah Menteri mengenai pindaan kepada Laporan Akhir Pengauditan 1MDB sebelum laporan berkenaan dimuktamad dan dibentangkan kepada Jawatankuasa Kira-Kira Wang Awam Negara (PAC) pada 4 Mac 2016.