Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengucapkan tahniah kepada Datuk Mohd Shukri Abdull atas pelantikan beliau sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM yang baharu.

SPRM dalam kenyataannya hari ini berkata seluruh warga SPRM mengalu-alukan perlantikan Mohd Shukri bagi menerajui suruhanjaya itu.

"SPRM berharap beliau dapat menyempurnakan amanah, tanggungjawab dan harapan rakyat bagi memastikan negara ini bebas daripada jenayah rasuah dan salah guna kuasa," kata SPRM.

Mohd Shukri telah berkhidmat selama 32 tahun bersama SPRM sebelum beliau bersara awal pada 31 Julai 2016 dengan jawatan terakhir yang dipegang beliau ialah Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM.

Semalam Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad menamakan Mohd Shukri sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM bagi menggantikan Tan Sri Dzulkifli Ahmad yang memohon menamatkan kontrak perkhidmatannya dengan SPRM dan sudah melaporkan diri di Pejabat Peguam Negara pada Selasa.

-- BERNAMA