Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali memberi tempoh sebulan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk melengkapkan siasatan terhadap kes aliran wang dari SRC International, anak syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Bagaimanapun, beliau yakin siasatan itu akan dapat disiapkan lebih awal daripada tempoh berkenaan.

"Saya telah meminta (SPRM) sebelum ini, dan ia (laporan) sepatutnya (disiapkan) dalam masa sebulan.

"Apa yang boleh saya katakan, ia mungkin (disiapkan) lebih awal," katanya semasa ditemui media selepas merasmikan majlis Pembukaan Mesyuarat Pegawai Kanan Undang-Undang ASEAN (ASLOM) ke-17 di sini hari ini.

Bagaimanapun, katanya, perkembangan terkini mengenai perkara itu akan diberitahu kemudian.

Mohamed Apandi sebelum ini telah mengarahkan SPRM melengkapkan siasatan melibatkan anak syarikat 1MDB itu sejak bulan lalu.

Pada masa sama, beliau menegaskan tidak pernah mengarahkan siasatan berhubung isu berkenaan dihentikan.