Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) melancarkan Kempen Gerakan Memerangi Pemberi Rasuah atau GEMPUR bagi mendidik penjawat awam supaya menolak sebarang bentuk tawaran atau pemberian rasuah.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Dzulkifli Ahmad melancarkan kempen tersebut serentak di seluruh negara bersempena Gerakan Revolusi Anti Rasuah (GERAH) Siri 2/2018 yang memfokuskan kepada pihak berkuasa tempatan (PBT).

Kempen berslogan ‘Anda Hulur, Kami Lapor’ merupakan penjenamaan semula kepada kempen ‘Perangi Pemberi Rasuah’ yang dilaksanakan pada tahun 2010.

Melalui pelaksanaan kempen GEMPUR, SPRM mahu memberi peringatan kepada penjawat awam agar menolak rasuah dan melaporkan perbuatan tersebut kepada SPRM, pada masa yang sama mendidik orang ramai agar tidak sesekali menawarkan rasuah kepada penjawat awam.

Bagi memastikan keberkesanannya, GEMPUR akan menyasarkan tiga kumpulan iaitu penjawat awam yang terlibat dalam tugas penguatkuasaan, perolehan dan perlesenan.

Kempen ini juga selaras dengan sasaran SPRM iaitu untuk membersihkan perkhidmatan awam daripada jenayah rasuah dan salah guna kuasa, malah pelengkap kepada Kempen 3J (Jangan Hulur, Jangan Kawtim, Jangan Settle) yang dilancarkan sebelum ini.

Turut hadir pada majlis pelancaran ini ialah Datuk Bandar Kuala Lumpur, Tan Sri Hj. Mhd. Amin Nordin Abd Aziz; Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi), Dato’ Sri Azam Baki; Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan), Dato’ Shamshun Baharin Mohd. Jamil dan Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pengurusan dan Profesionalisme), Dato’ Jaafar Mahad.