Sebarang pemilikan harta perlu dipastikan mempunyai unsur rasuah atau sebaliknya sebelum siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dapat dimulakan.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Azam Baki berkata, pihaknya juga tertakluk kepada kuasa badan itu sendiri sebelum mana-mana suspek boleh dipanggil untuk disiasat.

"Kalau hendak menuduh seseorang itu mempunyai harta yang banyak, belum tentu itu adalah berpunca daripada rasuah. Itu jawapan saya setakat ini.

"Kalau saudara ada duit yang banyak dan datang cik adik membuat laporan meminta SPRM siasat, kita akan teliti dahulu sama ada kes itu boleh disiasat atau tidak.

"Itu pentingnya agensi penguatkuasa seperti kita, sama ada boleh mula siasatan atau tidak," katanya ketika ditemui selepas Majlis Ikrar Bebas Rasuah (IBR) Jabatan Imigresen Malaysia di sini hari ini.

BACA: Dakwaan miliki RM230 juta, TPM Zahid sedia disiasat SPRM

BACA: SPRM masih belum terima laporan dakwaan RM230 juta - Dzulkifli

Azam berkata demikian ketika mengulas kesediaan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi untuk disiasat SPRM berhubung dakwaan memiliki wang tunai bernilai RM230 juta pada tahun 1996.

Baru-baru ini Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) Tun Dr Mahathir Mohamad mendakwa, Timbalan Perdana Menteri memiliki wang sebanyak RM230 juta dalam akaunnya ketika mengisytiharkan hartanya pada 1996.

Namun, Dr Mahathir mengakui tidak memiliki bukti menyokong dakwaan itu.

Mengulas perkara itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM Datuk Dzulkifli Ahmad sebelum ini dilaporkan berkata, pihaknya masih belum menerima laporan berhubung dakwaan bekas perdana menteri itu.

Sehubungan itu jelasnya, pihaknya tidak akan membuka sebarang kertas siasatan sehinggalah laporan rasmi mengenai perkara itu diterima pihaknya.

Menurut Dzulkifli, buat masa ini, dakwaan yang dibuat Dr Mahathir terhadap Ahmad Zahid itu disifatkan sebagai cerita yang tidak mempunyai asas kukuh.