Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan berkongsi pengalaman serta pendekatan yang diambil agensi itu dalam menangani rasuah di negara ini kepada peserta Persidangan Anti Rasuah Antarabangsa (IACC).

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (pencegahan) SPRM, Datuk Mustafar Ali berkata keberkesanan SPRM mendepani isu rasuah akan dibincangkan bersama panel antarabangsa lain yang hadir dalam persidangan bermula esok.

"Kita ketengahkan usaha yang dilakukan oleh SPRM dan Kerajaan Malaysia khususnya untuk mendepani isu-isu rasuah secara efektif dan efisien.

"Perlu untuk kita fahami bahawa pembenterasan rasuah bukan sahaja memerlukan gerak kerja daripada SPRM mahupun kerajaan semata-mata, tetapi memerlukan gabung jalin di peringkat antarabangsa," katanya dalam sidang media IACC 2015 di sini hari ini.

Mengenai persepsi rasuah, Mustafar menganggap perkara itu tidak akan dapat dikikis sepenuhnya.

"Persepsi akan ada terus persepsi. Tetapi langkah pencegahan berkesan yang dilakukan itu akan dapat mengetengahkan dari segi faktanya," tambahnya.

Persidangan IACC merupakan persidangan peringkat antarabangsa yang digariskan khusus untuk menentang dan memerangi rasuah di setiap negara yang terlibat.

Lebih 130 negara dikatakan menghantar wakil masing-masing untuk berkongsi ilmu dan maklumat bagi dijadikan panduan dalam membasmi gejala rasuah di negara masing-masing.