Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah memulakan siasatan kes Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Wan Ahmad Najmuddin Mohd berhubung pembekuan akaun hampir RM1 juta di Australia.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Azam Baki berkata, siasatan dimulakan apabila mereka menerima laporan daripada seorang pemberi maklumat.

“Siasatan dimulakan selepas mendapat maklumat daripada ‘whistle blower’ baru-baru ini.

“Kami dengar mengenai kes itu daripada satu sumber terbuka dan tidak boleh terus mengambil tindakan,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Bagaimanapun Azam enggan mendedahkan identiti pemberi maklumat itu kerana dilindungi di bawah Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010.

Beliau mengulas laporan Sydney Morning Herald (SMH) Jumaat lalu, yang melaporkan polis Australia membekukan A$320,000 (RM970,000) dalam akaun ‘Goal Saver’ Bank Commonwealth milik Wan Ahmad Najmuddin kerana mengesyaki ‘kemasukan wang tunai mencurigakan’ dalam akaun itu yang tidak aktif selepas dibuka pada 2011.

Menurut laporan itu, kemasukan wang kurang daripada A$10,000 (RM30,310) bermula seminggu selepas Wan Ahmad Najmuddin melawat Australia pada 2016.

SMH melaporkan baki akaun Wan Ahmad Najmuddin bertambah hampir A$290,000 (RM878,997) kepada A$320,000 (RM969,928) dalam tempoh sebulan, menyebabkan pihak berkuasa mengesyaki wang itu adalah hasil kegiatan jenayah atau pengubahan wang haram.

Memetik laporan The Sun, Azam berkata, sebelum ini mereka menghormati siasatan dalaman polis dan kenyataan dibuat Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

“Kami akan mempertimbangkan, dan dengan maklumat terbaru yang kami terima daripada pemberi maklumat itu semalam, kami akan memulakan satu siasatan secepat mungkin,” katanya.

Ditanya lanjut berkenaan tempoh masa siasatan dan bila pihaknya akan berhubung dengan polis Australia, beliau enggan mengulas.

“Biar kami buat kerja (siasat), dan siasatan sedang berjalan,” katanya.

Ahad lalu, Ahmad Zahid berkata, Wan Ahmad Najmuddin disifatkan sedikit naif berkenaan undang-undang dikuatkuasakan Kerajaan Australia ketika menghantar wang pembiayaan pengajian dua anaknya ke negara itu.

“Wang melebihi A$10,000 ke atas, yang dihantar ke negara berkenaan perlu mendapat kebenaran khusus berdasarkan peraturan negara tersebut.

“Isu pembiayaan wang berkenaan timbul pada 2016 lagi dan beliau telah memberi penjelasan kepada saya berkaitan perkara tersebut, dan saya menerima penjelasan itu dengan yakin bahawa beliau adalah jujur.

“Cuma, beliau mungkin naif membabitkan undang-undang berkaitan penghantaran wang pembiayaan itu kerana walaupun wang diperoleh hasil jualan rumah, ia melebihi daripada jumlah dibenarkan Kerajaan Australia iaitu hadnya adalah A$10,000,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata, siasatan dalaman membersihkan Wan Ahmad Najmuddin daripada sebarang salah laku pada 2016.

Katanya, siasatan itu berdasarkan dokumen sah yang membuktikan dana dalam akaun bank di Australia itu hasil jualan rumah di Shah Alam bernilai RM700,000 (kadar tukaran mata wang ketika itu berjumlah A$260,770).

Beliau berkata, Wan Ahmad Najmuddin membuktikan deposit dibuat ke dalam akaun itu daripada sumber dan tujuan sah.