Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menafikan kononnya sudah mengesahkan tidak terdapat unsur rasuah dalam kes Jabatan Air Negeri Sabah (JANS).

Kenyataan dibuat selepas khabar angin itu mula tular di media sosial yang dibimbangi boleh mengelirukan orang ramai.

Sehubungan itu, SPRM memohon semua pihak agar tidak mengambil kesempatan memutarbelitkan kes berkenaan.

SPRM juga akan memantau dan mengkaji segala berita tidak sahih di media sosial bagi memastikan perkara itu tidak berulang.

Pengurusan tertinggi suruhanjaya itu pada masa sama sedang menimbang untuk membuat aduan polis terhadap pihak yang menyebar khabar angin berkenaan.

Pada 29 Disember tahun lalu, tiga individu termasuk bekas pengarah JANS dan isterinya dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kota Kinabalu atas kesalahan pengubahan wang haram.

Sebutan semula kes ditetapkan pada 8 Ogos ini.