Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Negeri Perak hari ini memulakan siasatan berhubung kes tuntutan palsu oleh sebuah syarikat konsultan bagi Pusat Kerjaya Amanjaya (Peka).

Pengarah SPRM Negeri Perak, Datuk Zainul Darus berkata berdasarkan penggeledahan di beberapa lokasi pihaknya mendapati sebanyak RM9.18 juta itu sebagai jumlah keseluruhan bagi tuntutan yang disyaki meragukan.

Menurutnya, nilai tersebut dibahagikan kepada tiga jenis pecahan dalam tempoh lima tahun, iaitu tuntuan bulanan perkhidmatan konsultan berjumlah lebih kurang RM8 juta, tuntutan bayaran sewaan premis, bil-bil utiliti dan lain-lain bayaran berjumlah RM1.14 juta.

Zainul berkata, pihaknya juga mengesahkan tuntutan ke atas sebuah program yang dikesan gagal dilaksanakan berjumlah RM40,000.

Bagaimanapun, jelas Zainul, jumlah tersebut merupakan jumlah keseluruhan tuntutan yang dibayar dan pihaknya masih belum mengenal pasti bahagian tuntutan yang didakwa wujud pemalsuan.

“Ini adalah penemuan awal. Jadi, kita akan adakan semakan dengan teliti. Mana-mana perkara yang terlibat dengan tuntutan palsu, kita akan adakan tindakan susulan dengan kes,” katanya dalam satu sidang media di Pejabat SPRM Perak, di sini pada petang Jumaat.

Tambahnya, seorang suspek, berusia 43 tahun yang juga bekas pengerusi Peka merangkap pemilik syarikat Innovatis Sdn Bhd, direman tujuh hari bermula hari ini.

Suspek tersebut difahamkan yang dibawa daripada pejabatnya di Petaling Jaya ke Pejabat SPRM Perak ditahan sekitar jam 3.50 pagi (Jumaat).

Menurutnya lagi, antara lokasi yang digeledah SPRM semalam ialah Pejabat Peka, Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri, Bangunan Institut Darul Ridzuan, Bangunan Pusat Transfomasi Bandar (UTC) Ipoh, Majlis Bandaraya Ipoh serta pejabat syarikat konsultan yang disyaki terlibat, Innovatis Sdn Bhd di Petaling Jaya, Selangor.

Jelas Zainul, antara yang turut dirampas dalam operasi tersebut ialah invois tuntutan, baucar-baucar bayar, surat-surat yang berkaitan, serta dokumen dan surat perjanjian.

Zainul berkata pihaknya dijangka akan memanggil 30 saksi lagi bagi melengkapkan kertas siasatan dan tidak menolak turut akan memanggil ahli-ahli lembaga pengarah Peka.

SPRM Perak juga tidak menafikan kemungkinan terdapat syarikat konsultan lain juga yang terlibat, selain daripada Innovatis Sdn Bhd.

Jika disabit kesalahan, kes akan disiasat di bawah Seksyen 18 Akta SPRM 2009 untuk kesalahan berhubung mengemukakan tuntutan palsu.