Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sedang bekerjasama dengan Kementerian Pendidikan Tinggi untuk memperkenalkan modul integriti dan pencegahan rasuah dalam kurikulum pendidikan di institusi pengajian tinggi.

Pengarah Bahagian Pendidikan Masyarakat SPRM Abdul Samat Kasah berkata langkah itu merupakan usaha SPRM untuk mendidik pelajar mengenai nilai integriti selain mengekang jenayah rasuah pada semua peringkat.

"Kami sedang bekerjasama dengan jawatankuasa kurikulum dan naib canselor di empat universiti awam terpilih untuk memasukkan dan memperkemaskan lagi elemen integriti dan anti rasuah dalam sistem pemarkahan mereka.

"Projek perintis ini juga melibatkan program persediaan kepada pelajar yang bakal melangkah ke alam pekerjaan untuk mengenal pasti cabaran dan elemen rasuah yang akan wujud apabila mereka mula bekerja nanti," katanya kepada Bernama selepas memberi taklimat mengenai integriti dan rasuah di Pusat Kecemerlangan Bernama, di sini hari ini.

Katanya tahun lepas SPRM berjaya memasukkan elemen pencegahan rasuah dalam buku teks mata pelajaran Pendidikan Islam dan Pendidikan Moral bagi murid tahun enam selepas bekerjasama dengan Kementerian Pendidikan sejak 2011.

Beliau berkata elemen yang sama juga dimasukkan dalam buku teks bagi pelajar tingkatan satu pada tahun ini dan tingkatan empat tahun depan.

"Langkah ini membolehkan pelajar mengetahui maksud rasuah, perbuatan-perbuatan yang menjadi kesalahan rasuah, dan kesan pencegahan serta nilai-nilai murni yang dapat mencegah diri daripada perbuatan rasuah," katanya.

Ditanya mengenai kesedaran rasuah dalam kalangan pelajar, beliau berkata kajian Universiti Kebangsaan Malayasia terhadap kesanggupan pelajar untuk melakukan rasuah ketika mempunyai kerjaya telah menurun kepada 10 peratus pada tahun lepas berbanding 30 peratus pada 2003.

"Memang ada penurunan ... tetapi harapan dan hasrat kita adalah tolerasi sifar terhadap rasuah dan pelbagai usaha kita sedang usahakan untuk mencapai tahap itu," katanya.

-- BERNAMA