SPRM Pulau Pinang tahan penolong pegawai tadbir universiti awam

SPRM Pulau Pinang tahan penolong pegawai tadbir universiti awam
Perintah reman akan dikeluarkan Mahkamah Majistret Pulau Pinang pada Khamis - Foto Fail
Seorang Penolong Pegawai Tadbir sebuah universiti awam ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membantu siasatan berkaitan kes salah guna kuasa melibatkan kerja-kerja pembekalan dan perkhidmatan yang dianggarkan bernilai kira-kira RM140,000, pada Rabu.

Menurut sumber, wanita berusia 42 tahun itu ditahan pada kira-kira pukul 12 tengah hari di Pejabat SPRM Pulau Pinang ketika hadir untuk memberi keterangan.
Jelas sumber, siasatan awal mendapati suspek telah menggunakan kedudukannya dengan mencadangkan syarikat milik sendiri bagi kerja-kerja pembekalan dan perkhidmatan di Pusat Sukan dan Rekreasi universiti tersebut bagi tempoh 2013 sehingga 2017.

Tambah sumber itu lagi, difahamkan SPRM akan mendapatkan perintah tahanan reman terhadap suspek di Mahkamah Majistret Pulau Pinang pagi esok dan disiasat mengikut Seksyen 23 Akta SPRM 2009.

Sementara itu, Pengarah SPRM Pulau Pinang, Dato’ Wan Ramli Wan Abdullah ketika dihubungi mengesahkan penahanan itu namun enggan mengulas lanjut.