Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan PUSPAKOM Sdn Bhd (PUSPAKOM) akan mengadakan kerjasama dalam bidang Pengurusan Risiko Rasuah (CRM) bagi mewujudkan persekitaran bebas rasuah dan pengukuhan integriti.

"Kami telah bersetuju untuk mengadakan kerjasama dalam bidang CRM," kata Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM, Datuk Mustafar Ali dalam kenyataan bersama, hari ini.

Sehubungan itu menurut Datuk Mustafar, Lembaga Pengarah PUSPAKOM juga telah menyatakan komitmen untuk menandatangani Ikrar Integriti Korporat (CIP) dan memastikan prinsip-prinsip pencegahan rasuah dilaksanakan.

Pendekatan itu merupakan antara tujuh keputusan utama dicapai dalam pertemuan pengurusan tertinggi SPRM dan Lembaga Pengarah PUSPAKOM baru-baru ini.

Kata beliau, SPRM dan PUSPAKOM akan terus mengadakan siri pertemuan bagi meneliti dan menilai pelaksanaan berkesan hubungan kerjasama kedua-dua entiti untuk mewujudkan persekitaran bebas rasuah dan pengukuhan integriti.

"Kami juga mencapai keputusan untuk memperkukuhkan kerjasama dalam aspek penerapan nilai-nilai murni dan pencegahan rasuah kepada semua pegawai dan warga kerja PUSPAKOM, khususnya di hot spot," katanya.

Menurut Datuk Mustafar lagi, pihaknya juga bersetuju untuk menggiatkan pelaksanaan Memorandum Persefahaman (MoU) yang telah dimeterai antara kedua-dua pihak pada 2011.

"Kerjasama dalam aspek operasi bagi menentukan pematuhan sistem dan prosedur pelaksanaan pemeriksaan kenderaan berkomputer yang bebas dari gejala rasuah juga akan diberi penekanan oleh SPRM dan PUSPAKOM," katanya.

Tambah beliau, SPRM dan PUSPAKOM akan menentukan pelaksanaan tadbir urus baik di PUSPAKOM dan pengwujudan 'best practices' dalam aspek tertentu bagi memastikan ruang dan peluang rasuah dibanteras.

Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif PUSPAKOM, Mohammed Shukor Ismail berkata, pertemuan berkala antara dua organisasi ini akan mengukuhkan platform yang boleh menghapuskan ruang dan peluang rasuah.

Kata beliau, PUSPAKOM sememangnya memandang berat isu-isu integriti dan telah mengambil pelbagai langkah yang berkesan bagi menyempitkan ruang rasuah dan membanteraskan isu 'ulat' atau orang tengah yang mengaut keuntungan atas angin dan memberi jaminan kelulusan untuk semua urusan di PUSPAKOM.

Tambah beliau, PUSPAKOM dan SPRM telah pun menjalin hubungan kukuh sejak beberapa tahun lalu dan ia telah dipertingkatkan tahun lalu.

Sehingga kini, sebanyak 20 siri Seminar Ketelusan telah berjaya diadakan di seluruh negara oleh PUSPAKOM. Seminar ini bertujuan untuk meningkatkan kefahaman para pelanggan berhubung prosedur dan ketelusan pemeriksaan.