Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini membuat serbuan ke atas pejabat anak syarikat kerajaan Selangor, universiti seliaan kerajaan Selangor dan sebuah syarikat swasta berhubung siasatan pembayaran kontrak yang dipercayai merugikan kerajaan negeri itu.

Dalam serbuan itu, 11 pegawai penyiasat SPRM memasuki kampus Universiti Selangor (Unisel) dan pejabat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI).

Tindakan itu dipercayai membabitkan siasatan terhadap isu pertikaian kontrak antara Unisel dengan syarikat konsesi, Jana Niaga Sdn Bhd (JNSB).

Dua pegawai SPRM tiba di Bangunan Darul Ehsan di Seksyen 14 di sini yang menempatkan pejabat MBI di tingkat 14 pada 10.43 pagi.

Tiga lagi pegawai dilihat tiba kira-kira 10 minit kemudian.

Manakala enam pegawai lain tiba di kampus Unisel kira-kira jam 10 pagi dan memasuki bahagian pentadbiran Unisel di Seksyen 7 dengan diiringi pegawai universiti itu.

Difahamkan, SPRM turut membuat serbuan di pejabat JNSB di Desa Pandan dan kampus induk Unisel di Bestari Jaya, Kuala Selangor.

Isu membabitkan penyelesaian antara Unisel dan syarikat konsesi itu diketahui umum selepas Pemuda UMNO Bahagian Kelana Jaya pada 8 Julai lalu membuat laporan kepada SPRM Selangor berhubung penyelesaian itu yang didakwa meragukan.

Ketua Pemuda UMNO Kelana Jaya, Maisham Maarof, dalam laporannya antara lain mendakwa, penyelesaian pertikaian oleh MBI dan Pendidikan Industri YS Sdn Bhd (PIYSB) membabitkan puluhan juta ringgit.

Maisham turut mempertikaikan tindakan universiti itu menganugerahkan kontrak baru kepada JNSB yang didakwanya melanggar perjanjian konsesi terdahulu.

Sementara itu, Pengarah Siasatan SPRM Datuk Simi Abd Ghani ketika dihubungi mengesahkan serbuan itu.

Beliau berkata, kenyataan media akan dikeluarkan pada petang ini.