Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kini sedang menyiasat sebuah syarikat milik kerajaan (GLC) yang disyaki terlibat dalam perbuatan rasuah dan salah guna kuasa melibatkan wang dianggarkan lebih AS$27.8 juta (RM108.5 juta).

Menurut sumber, pihak SPRM telah menerima maklumat bahawa terdapat pegawai di syarikat terbabit disyaki telah bersubahat dengan kontraktor-kontraktor mengemukakan tuntutan palsu berkaitan kerja-kerja penyelenggaraan yang mana kerja-kerja tersebut tidak dilaksanakan sejak 2010 hingga 2013.

Sumber berkata, sehubungan itu, SPRM telah melakukan serbuan terhadap syarikat-syarikat berkaitan di ibu negara dan Johor pada 28 Februari lalu.

"SPRM juga telah merakam keterangan seramai sembilan orang saksi termasuk empat pegawai kanan serta merampas beberapa dokumen berkaitan," ujarnya.

Menurut sumber, antara dakwaan yang disiasat SPRM ialah tuntutan pembayaran kos pembaikan tangki kapal bernilai AS$15.8 juta (RM61.6 juta) pada 2012 sedangkan anggaran awal hanyalah AS$7.9 juta (RM30.8 juta).

Selain itu, terdapat juga dakwaan mengenai kerja penyelenggaraan yang mengalami kerugian sebanyak AS$12 juta (RM46.8 juta) kerana proses perlantikan kontraktor tidak mengikut prosedur perolehan yang ditetapkan.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Azam Baki ketika dihubungi mengesahkan siasatan melibat GLC tersebut, bagaimanapun enggan mengulas lanjut kerana khuatir akan menganggu siasatan yang sedang dijalankan.