Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan seorang bekas Ketua Pegawai Eksekutif sebuah yayasan berpangkat Datuk kerana disyaki menyalahgunakan kedudukan dan jawatan untuk melantik syarikat miliknya bagi penganjuran sebuah program kayuhan pada 2016.

Suspek lelaki berusia lingkungan 60-an yang juga bergelar profesor itu ditahan kira-kira pukul 10.30 pagi Khamis di pejabat SPRM di sini ketika hadir memberikan keterangan.

Menurut sumber, ketika suspek memegang jawatan itu di yayasan tersebut, beliau telah melantik syarikat miliknya sebagai rakan strategik bagi menganjurkan sebuah program kayuhan di utara tanah air dengan kos berjumlah melebihi RM150,000.

Pengarah SPRM Putrajaya, Ketua Penolong Kanan Pesuruhjaya (KPKPj) Hasbilah Mohamad Salleh ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut.

Kes disiasat dibawah Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 (ASPRM 2009).

Suspek kemudian dibenarkan diikat jamin dengan seorang penjamin berjumlah RM10,000.