SEORANG jurutera perunding bergelar Datuk Seri ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) selepas disyaki meminta rasuah daripada seorang bekas ketua pengarah sebuah agensi kerajaan yang kononnya disiasat SPRM.

Lelaki itu meminta wang bagi menyelesaikan kes SPRM yang didakwa dihadapi bekas ketua pengarah berkenaan.

Menurut sumber SPRM, lelaki berusia 49 tahun itu ditahan di Bandar Baru Bangi pada pukul 12.45 tengah hari, semalam.

Katanya lelaki itu telah memaklumkan kepada bekas ketua pengarah berkenaan bahawa dia dan beberapa lagi pegawai agensi kerajaan terbabit sedang disiasat oleh SPRM.

"Pada pertengahan bulan ini, lelaki itu telah berjumpa dengan individu terbabit di sebuah restoran di ibu negara. Dalam pertemuan itu, dia (suspek) dikatakan dapat menyelesaikan kes yang dihadapi individu terbabit kerana mengenali pengurusan tertinggi SPRM yang akan membantunya," katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.

Sumber itu berkata lelaki berkenaan juga menawarkan bantuan bagi mendapatkan gelaran Datuk Seri dari negeri Pahang kepada individu itu.

Lelaki itu meminta wang sebanyak RM1.8 juta untuk kedua-dua tujuan berkenaan. Dia direman enam hari bermula hari ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM Datuk Seri Azam Baki ketika dihubungi mengesahkan tangkapan tersebut.

Beliau berkata tindakan individu menggunakan nama pengurusan tertinggi SPRM untuk mendapatkan wang bukanlah kejadian pertama berlaku.

"Justeru, kami tidak akan membenarkan mana-mana individu mencemarkan nama baik serta reputasi SPRM dan tindakan sewajarnya akan diambil ke atas mereka yang terlibat.

Saya meminta orang ramai agar tidak terperdaya dan sekiranya terdapat mana-mana individu menyatakan anda disiasat oleh kami (SPRM), sebaiknya hubungi SPRM terdahulu untuk mengesahkan perkara terbabit," katanya.

-- BERNAMA