Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan dua pembantu pendaftaran Jabatan Pendaftaran Negara cawangan Semporna kerana disyaki terlibat dalam kegiatan rasuah dan salah guna kuasa membabitkan proses pengeluaran kad pengenalan.

Kedua-dua suspek, seorang lelaki berusia 45 tahun dan seorang wanita berumur 40 tahun, ditahan di Semporna pada pukul 6 petang dan 8.20 malam.

Mereka dipercayai menerima suapan bernilai RM2,000 seorang melibatkan proses pengeluaran kad pengenalan dua beradik kembar di daerah Semporna.

Pengarah SPRM Sabah, Datuk Sazali Salbi ketika dihubungi mengesahkan kedua-dua tangkapan tersebut dan berkata mereka telah direman untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 17 (a) SPRM 2009.

Majistret Faizal Che Saad membenarkan reman selama lima hari ke atss kedua-dua suspek di Mahkamah Majistret Tawau.

--BERNAMA