Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) melumpuhkan satu sindiket penyelewengan minyak masak bersubsidi setelah menahan empat individu yang merupakan pengarah syarikat dalam Ops RBD semalam.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Ahmad Khusairi Yahaya berkata, kesemua mereka ditahan bagi membantu siasatan berhubung kuota pembekalan minyak subsidi daripada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).

“Kesemua individu berusia antara 30 hingga 41 tahun itu ditahan di sekitar Selangor dan Putrajaya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ahmad Khusairi berkata, isu berhubung penyelewengan minyak masak bersubsidi merupakan isu ketirisan yang mengakibatkan kerajaan kerugian ratusan juta ringgit.

“Berdasarkan perkiraan kasar SPRM, sindiket ini telah mengaut keuntungan atas bayaran subsidi sebanyak RM21.6 juta sejak beroperasi selama tiga tahun di mana terdapat sembilan buah syarikat yang dikawal oleh sindiket ini,” katanya.

Beliau berkata, SPRM turut membekukan 12 akaun milik individu dan syarikat berjumlah lebih RM25 juta.

“Berdasarkan semakan dengan KPDNHEP, sindiket ini telah diberikan kuota perbekalan minyak masak sebanyak 1,000 tan sebulan. Sepatutnya, syarikat berkenaan perlu memproses dan membungkus semula minyak masak yang diberikan kepada bungkusan satu kilogram dan dibekalkan untuk kegunaan peruncit dan orang ramai khususnya masyarakat luar bandar.

"Namun minyak masak bersubsidi itu tidak dibungkus sebagaimana yang sepatutnya dan sebaliknya dikumpul dan dieksport ke luar negara.