Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini menahan seorang pegawai kanan sebuah dewan perniagaan di Perak yang disyaki terlibat rasuah.

Menurut sumber, suspek berusia 47 tahun itu ditahan di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya, sekitar 4 petang tadi.

"Ketika ini, siasatan yang dibuat menjurus kepada pendakwaan satu kes rasuah di mahkamah.

"Kes tersebut melibatkan projek-projek memajukan tanah di sebuah lokasi di Perak serta pembekalan bahan binaan pada 2014," kata sumber itu.

Menurut sumber itu, setakat ini SPRM masih belum melakukan sebarang sitaan melibatkan suspek.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM Datuk Azam Baki ketika dihubungi mengesahkan penahanan pegawai kanan itu.

"SPRM dalam proses merakam percakapan suspek sebelum tindakan lanjut diambil dan suspek akan dibawa ke Mahkamah Putrajaya esok untuk direman," katanya.

-- BERNAMA