Seorang lagi jurutera daerah sebuah jabatan kerajaan di Sabah ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membantu siasatan berhubung dakwaan penyelewengan dana projek infrastruktur asas bernilai RM3.3 bilion.

Sumber yang rapat dengan pasukan siasatan SPRM berkata jurutera berumur 35 tahun itu ditahan kira-kira 6.40 petang semalam sebelum dibawa Mahkamah Majistret Tawau untuk permohonan tahanan reman.

"Majistret Faizal Che Saad telah membenarkan reman selama lima hari terhadap suspek bermula hari ini," kata sumber berkenaan, di sini hari ini.

Sementara itu, sumber tersebut memaklumkan lima daripada 19 suspek yang ditahan SPRM pada 19 Okt lalu berhubung kes itu telah dibebaskan daripada tahanan reman dengan masing-masing dikenakan ikat jamin RM50,000 dengan dua penjamin.

Menurutnya, setakat ini SPRM telah merampas wang tunai RM8.4 juta daripada kesemua suspek yang ditahan dalam Ops Water Fasa II yang dilancarkan pada 19 Okt lalu.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM Datuk Azam Baki ketika dihubungi Bernama mengesahkan maklumat berkenaan.

Pada 4 Okt lalu, SPRM melancarkan Ops Water Fasa I dan menahan empat pegawai kanan sebuah jabatan kerajaan di sini, termasuk pengarah dan timbalan pengarah jabatan itu, bagi membantu siasatan berhubung dakwaan penyelewengan dana berkenaan.

Ekoran penahanan empat suspek berkenaan, SPRM turut merampas wang tunai lebih RM114 juta tidak termasuk 127 geran tanah dan barangan kemas.

Bagaimanapun keempat-empat suspek berkenaan telah dibebaskan dengan ikat jamin antara RM50,000 dan RM500,000 dengan dua penjamin.

Ops Water Fasa II dilancarkan selepas SPRM mengesyaki ramai lagi pegawai daripada jabatan berkenaan terlibat dalam penyelewengan berkenaan hasil daripada siasatan terhadap pegawai yang ditahan sebelum itu. - Bernama