Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan tiga guru lelaki termasuk guru besar sebuah sekolah rendah di Pandamaran kerana disyaki meminta dan menerima suapan berjumlah RM5,000.

Dalam satu kenyataan hari ini, SPRM berkata suspek ditahan di sebuah restoran di Taman Pendamar Indah 2, Pandamaran, kira-kira 3.25 petang tadi.

"Ketika penahanan ketiga-tiga mereka, kita turut merampas wang tunai berjumlah RM5,000 di lokasi kejadian.

"Siasatan awal mendapati suspek seorang guru telah meminta dan menerima wang suapan daripada pengadu juga seorang guru sebanyak RM5,000 sebagai balasan untuknya meminta guru besar menyokong permohonan pengadu bertukar ke sekolah lain," katanya.

Sementara itu, Pengarah SPRM Selangor Datuk Alias Salim ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut yang dibuat mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.

Beliau berkata permohonan reman ke atas kesemua suspek berusia 35 hingga 52 tahun terbabit akan dibuat di Mahkamah Majistret Klang esok.

-- BERNAMA