Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari menafikan dakwaan bahawa pihaknya menerima arahan untuk ‘membutakan mata’ terhadap bukti serta mengugut saksi dalam siasatan kes melibatkan seorang pegawai kanan Lembaga Tabung Haji.

SPRM menegaskan pihaknya sentiasa bersikap profesional dan mengikut ‘rule of laws’ semasa menjalankan siasatan tanpa dipengaruhi mana-mana pihak.

“Tangkapan atau penahanan yang dilakukan SPRM bertujuan untuk membantu siasatan berdasarkan asas-asas kukuh.

“SPRM sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP), undang-undang dan peraturan yang ditetapkan semasa menjalankan siasatan dengan telus, bebas dan profesional tanpa memihak kepada mana-mana individu atau organisasi demi membersihkan negara ini daripada jenayah rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa,” katanya dalam satu kenyataan.

SPRM turut menegaskan perbuatan mengeluarkan kenyataan oleh mana-mana pihak atau individu berhubung kes yang sedang disiasat boleh mengganggu dan menjejaskan perjalanan siasatan.

Ia juga seolah-olah memaksa SPRM mendedahkan hasil siasatan kepada masyarakat, tambahnya.

“SPRM tidak akan membuat sebarang pendedahan terhadap hasil siasatan dan hanya akan menyerahkan kertas siasatan yang lengkap kepada Jabatan Peguam Negara selaku Pendakwa Raya bagi membuat keputusan secara professional,” tegasnya.

Pada 19 Disember, seorang pegawai pengurusan kanan Tabung Haji bergelar 'Datuk' direman bagi membantu siasatan SPRM berhubung dakwaan kes rasuah berbentuk pengubahsuaian rumah bernilai RM400,000.