Pemaju utama projek Kuala Lumpur Vertical City (KLVC) memfailkan saman fitnah terhadap bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Razali Ibrahim, di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, semalam.

Synergy Promenade Sdn Bhd (SPSB) selaku plaintif memfailkan saman itu susulan beberapa kenyataan yang dikeluarkan Razali (defendan) berkaitan SPSB dan penglibatan syarikat ini sebagai pemaju utama KLVC di Jalan Semarak, Kuala Lumpur.

Melalui satu kenyataan, SPSB menegaskan bahawa kenyataan-kenyataan yang dibuat defendan telah mencemarkan reputasi SPSB malah kenyataan dibuat adalah palsu dan tidak berasas.

“Sebelum ini satu Notis Tindakan telah diberi menuntut supaya beliau meminta maaf dan membayar ganti rugi namun beliau gagal, enggan, dan atau cuai daripada mematuhi notis tersebut,” menurut kenyataan itu.

Dalam tuntutan itu, syarikat berkenaan memohon satu perintah injunksi supaya bekas Ahli Parlimen Muar itu membayar ganti rugi RM100 juta.

Turut dipohon perintah injunksi bagi menghalang Razali daripada mengulangi dan menerbitkan artikel berunsur fitnah berkaitan syarikat itu selain beliau menuntut defendan meminta maaf berdasarkan terma dipersetujui SPSB.

KLVC ialah projek yang dibangunkan syarikat pemaju, SPSB di tanah milik Felda yang menimbulkan kontroversi baru-baru ini.

Sebelum ini, SPSB juga pernah memfailkan saman fitnah berjumlah RM100 juta terhadap bekas Pengerusi Felda, Tan Sri Shahrir Abdul Samad berhubung isu pemindahan hak milik tanah Felda di Jalan Semarak.

Pada 9 Mac lalu, Shahrir mengesahkan Felda kembali mendapatkan kesemua 16 lot tanahnya di Jalan Semarak di sini, yang sebelum ini didaftarkan atas nama SPSB.