Syarikat Tujuan Khas (SPV) di bawah Kementerian Kewangan tidak menjejaskan kepentingan pendeposit Tabung Haji (TH).

Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mujahid Yusof berkata, objektif penubuhan SPV milik penuh Kerajaan yang dikenali sebagai Urusharta Jamaah Sdn Bhd (UJSB), adalah untuk membantu mengambil alih aset-aset TH yang mengalami kejatuhan nilai bagi menutup jurang di antara aset dan tanggungan yang dialami oleh TH.

"Dengan pemindahan aset-aset yang mengalahi kejatuhan nilai dan pulangan rendah, kita buat pemindahan aset ini kepada UJSB untuk menutup jurang aset dan liabiliti yang dialami TH, hendak membolehkan hibah, tak terjejas hendak jaga kepentingan pendepoit untuk dapat habuan hibah bersesuaian aset kena lebih tanggungan," katanya.

Beliau menjawab soalan Datuk Salim Sharif (BN Jempol) yang mahu Kerajaan menyatakan nama-nama syarikat yang dikenali sebagai Syarikat Tujuan Khas (SPV) di bawah Kementerian Kewangan berhubung perkara pemindahan aset Lembaga Tabung Haji dan adakah pemindahan aset tersebut akan menjejaskan dividen penyimpan.

Menurut Mujahid, secara keseluruhannya aset-aset yang telah dipindahkan terdiri daripada 29 harta tanah, satu syarikat tidak tersenarai dan 106 sekuriti ekuiti domestik.

Katanya, semua aset-aset tersebut telah dipindahkan kepada SPV berkenaan pada harga RM19.9 bilion.

"Harga RM19.9 bilion itu adalah lebih tinggi berbanding nilai semasa atau nilai buku yang hanya RM10 bilion.

"Dengan itu TH mendapat sekitar RM9.9 bilion yang akan membantu Lembaga Tabung Haji (TH) menutup jurang defisit di antara aset dan liabiliti serta mengimbangi rosot nilai bagi tahun 2018," jelasnya.