Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) melancarkan Pelan Induk Skim Kepentingan yang akan memanfaatkan semua sektor ekonomi untuk menjana pendapatan perniagaan serta mendapatkan dana atau pembiayaan alternatif bagi tujuan menjalankan aktiviti ekonomi.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, skim itu berdaftar dan diiktiraf di bawah ‘Financial Service Act 2013 (FSA 2013)’ sebagai satu daripada aktiviti pengumpulan deposit yang terkecuali daripada kawal selia di bawah akta itu sepertimana aktiviti terkawal mengikut Akta Pasaran Modal Dan Sekuriti (CMSA 2007).

"Pelan Induk Skim Kepentingan, antara lain, kita lihat sebagai mempunyai potensi besar yang belum kita teroka. Dan kita percaya, sudah sampai masanya skim kepentingan ini kita galakkan dengan lebih agresif lagi, melihat kepada potensinya," katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Persidangan Kebangsaan SSM 2019 di Pusat Konvensyen Sunway Pyramid di sini hari ini.

Persidangan selama dua hari bertemakan ‘Future Proofing Business in The Digital Age’ itu adalah agenda tahunan SSM untuk berinteraksi secara langsung dengan pihak berkepentingan seperti pengamal sektor korporat serta komuniti perniagaan.

Persidangan kali ini memberi tumpuan kepada perubahan landskap perniagaan serta cabaran terhadap perubahan digital yang mana teknologi memainkan peranan penting dalam arus informasi, proses globalisasi dan ekonomi.

Dalam perkembangan lain, Saifuddin berkata, diskaun pengurangan kompaun secara automatik merupakan inisiatif bagi memudahkan komuniti korporat yang terlibat dapat menyelesaikan bayaran denda dalam tempoh ditetapkan dengan penjimatan kompaun.

"Sejak SSM dilancarkan pada 1 Julai sehingga 21 Julai, bilangan kompaun adalah sebanyak 122, dengan jumlah asal RM377,800. Diskaun yang dinikmati adalah RM278,365, dan jumlah sebenar yang dibayar ialah RM99,435," katanya.

Pengurangan kompaun secara automatik, yang diperkenalkan SSM pada awal bulan ini, menawarkan diskaun antara 30 hingga 85 peratus.