Pengenalan semula Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) akan dilaksanakan dalam tempoh dua hingga tiga bulan, kata Pengerusi Majlis Penasihat Kerajaan, Tun Daim Zainuddin.

Kerajaan baharu Pakatan Harapan sebelum ini mengumumkan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) ditetapkan pada kadar sifar berbanding enam peratus, berkuat kuasa 1 Jun, 2018.

"(SST akan dilaksanakan) dalam tempoh terdekat...pelaksanaan perlu sedikit masa.. anda tidak boleh lakukannya serta-merta, kira-kira dua hingga tiga bulan.

"Sejak tujuh tahun lepas, kita tidak ada GST, (dan) tidak ada masalah, kita boleh atasi semuanya... masalahnya ialah rasuah," katanya pada sidang media di pejabatnya di sini hari ini.

Daim bagaimanapun tidak menyatakan dengan jelas bila SST akan dilaksanakan serta kadarnya.

Beliau berkata SST dianggarkan mengumpul RM30 bilion hasil tahunan, dan akan menangani kekurangan daripada kutipan GST.

-- BERNAMA