Pelaksanaan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) mulai Sabtu ini dijangka tidak membawa perbezaan ketara bagi harga perkhidmatan.

Pakar cukai Norsa'adah Ahmad berkata ini kerana cukai enam peratus yang dikenakan untuk perkhidmatan seperti hotel, insurans dan takaful serta penyediaan makanan dan minuman adalah sama dengan nilai cukai yang dikenakan semasa pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) sebelum ini.

"Sepatutnya (harga perkhidmatan) tidak banyak berbeza dengan yang sebelum ini... kebanyakannya akan kekal seperti biasa.

"Berbanding kesannya (SST) terhadap harga barang, yang menjadi tumpuan orang ramai mahu lihat sama ada harga turun atau naik, harga perkhidmatan dijangka tidak mendatangkan kesan ketara," katanya kepada Bernama.

Namun, Norsa'adah yang juga anggota Institut Akauntan Malaysia (MIA) tidak menolak kemungkinan berlaku caj berganda pada harga makanan dan minuman yang dijual di sesebuah restoran.

Menurutnya harga sesuatu produk seperti minuman tin dikenakan cukai jualan 10 peratus pada peringkat pengeluaran dan tidak mustahil bagi pihak restoran untuk menaikkan harga bagi menampung kos cukai perkhidmatan.

Antara perkhidmatan yang turut dikenakan SST adalah kelab malam, kelab persendirian, kelab golf, kasino, loteri, telekomunikasi, televisyen berbayar, guaman, perakaunan, ejen kastam, arkitek, jurutera, penilai, keselamatan, parkir, kereta sewa, pengiklanan, perkhidmatan domestik, perkhidmatan teknologi maklumat, kad kredit dan elektrik.

Penggiat industri perhotelan turut menjangka tiada kenaikan harga bilik dengan pelaksanaan SST kecuali kenaikan biasa pada musim puncak seperti cuti sekolah disebabkan permintaan tinggi.

Bagaimanapun, Pengarah Eksekutif Persatuan Pemilik Hotel Malaysia (MAHO) Shaharudin M.Saaid berkata sekiranya mekanisme pelaksanaan cukai itu sama seperti SST sebelum ini, pihaknya menjangka kadar bayaran bilik lebih murah.

"Sekiranya mekanisme sama seperti SST 1.0 sebelum GST dilaksanakan, harga bilik sepatutnya jadi lebih murah kerana SST 1.0 tidak mengenakan enam peratus cukai pada caj perkhidmatan," katanya.

Menurutnya semasa GST dilaksanakan, cukai enam peratus itu turut dikenakan ke atas caj perkhidmatan yang menyebabkan kenaikan harga bilik dan perkhidmatan lain.

Bagaimanapun, Shaharudin berharap mekanisme pelaksanaan SST yang baharu itu akan segera dijelaskan kepada pihak hotel untuk mengelakkan sebarang kekeliruan.

"Kami sedang menunggu penjelasan daripada Jabatan Kastam Diraja Malaysia," katanya.

-- BERNAMA