Kementerian Sains Teknologi dan Inovasi (MOSTI) akan mengkaji keperluan untuk membangunkan satu standard bagi vape dan e-rokok.

Menterinya, Datuk Seri Madius Tangau berkata ada agensi di bawah kementeriannya yang berkeupayaan menjalankan ujian keselamatan tersebut.

Dalam satu kenyataan hari ini, Madius berkata agensi di bawah MOSTI iaitu SIRIM melalui anak syarikatnya SIRIM QAS International berkeupayaan menjalankan beberapa jenis ujian ke atas ciri keselamatan alatan vape dan e-rokok.

Madius berkata bagi alat jenis vape, ujian keselamatan boleh dijalankan ke atas bateri ion litium yang digunakan tertakluk di bawah ujian IEC62133.

"Ujian itu meliputi beberapa perkara termasuk ujian altitud, kitaran terma, getaran, hentakan mekanikal, litar pintas luaran, ujian hancur, dan discas paksaan.

"Bagi setiap ujian, hasilnya adalah untuk memastikan tidak berlaku litar pintas, letupan, kebakaran, kebocoran ataupun pecah," tambah Madius.

Selain itu, menurut Madius, bagi alat jenis e-rokok, peralatan jenis ini kebiasaannya menggunakan pengecas biasa ataupun penyesuai (adaptor) yang tertakluk di bawah standard peralatan elektrikal MS: MS IEC 60335-1: 2013 dan MS IEC 60335-2-29:2005.

Beliau juga berkata bagi keselamatan e-liquid iaitu cecair yang terkandung di dalam e-rokok, satu standard perlu dikenal pasti atau dibangunkan sebelum pengujian atau pensijilan boleh dilaksanakan.

"Ujian boleh dilakukan oleh SIRIM QAS International ke atas E-liquid bagi mengenalpasti kehadiran logam berat seperti bahan pencemar logam (metal contaminants), bahan berbahaya (harmful substances) dan kandungan karsinogenik (carcinogenic content)," kata Madius.

Dalam kenyataan yang sama, Madius juga mengajak pengeluar atau pengedar alat vape dan e-cigarette untuk mengambil bahagian secara sukarela dalam menjalani ujian-ujian berkenaan ke atas peralatan jualan mereka.