Starbucks Malaysia kini memberi tumpuan kepada penubuhan enam perpustakaan komuniti di beberapa negeri di bawah projek khidmat masyarakat bertemakan 'Make A Difference, Donate A Book'.

Dalam satu kenyataan hari ini, syarikat itu berkata tiga perpustakaan pertama ditubuhkan di Pahang, Selangor dan Sarawak bulan ini manakala tiga lagi akan dibina di Sabah, Perak dan Johor pada Mei.

Bagi menyokong tujuan ini, Starbucks menjemput para pelanggannya untuk terus menyumbang bahan bacaan mereka ke bakul pengumpulan buku yang disediakan di 93 kedai Starbucks di seluruh Malaysia.

Nota sisipan turut disediakan di bakul pengumpulan itu untuk pelanggan meninggalkan mesej positif ketika menyumbangkan buku.

"Kedai kami membolehkan rakan-rakan (pekerja) dan pelanggan untuk berhubung, menghulurkan bantuan dan mewujudkan peluang bermakna yang boleh mengukuhkan individu dan masyarakat," kata Salleharon Ahmad, Pengurus Kanan Hal Ehwal Awam dan Strategi Digital Starbucks Malaysia dan Brunei.

Satu daripada penerima pertama inisiatif itu ialah penduduk di Kampung Parit Serong, Kuala Selangor, Selangor yang baru-baru ini menerima 1,500 buku dengan tajuk mesra keluarga merangkumi genre seperti hobi dan minat, alam semula jadi, kecergasan dan kesihatan serta buku rujukan.

-- BERNAMA