Pengumuman hasil Laporan Penyiasatan Pendapatan Isi Rumah dan Kemudahan Asas 2016 oleh Jabatan Perangkaan semalam, hanya merumuskan lagi pencapaian yang dikecapi oleh kerajaan Barisan Nasional (BN) dari segi pengurusan ekonomi dengan manfaatnya turut diraih oleh rakyat.

Pada masa sama, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan, ia turut membuktikan bahawa persepsi kononnya pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) yang memberangsangkan sejak beberapa tahun lepas tidak menguntungkan rakyat, adalah tidak benar.

Beliau berkata laporan itu juga menunjukkan ketidaksamaan isi rumah di Malaysia juga susut secara ketara apabila pendapatan penengah isi rumah kumpulan berpendapatan 40 peratus terendah atau B40 meningkat daripada RM2,629 (2014) kepada RM3,000 (2016) membabitkan kadar pertumbuhan 6.6 peratus setahun.

"Kadar itu jauh lebih pantas daripada isi rumah T20 (kumpulan 20 peratus tertinggi) dengan kadar pertumbuhan 6.2 peratus. Kumpulan berpendapatan M40 atau 40 peratus pertengahan pula mencatatkan pertumbuhan pendapatan terpantas iaitu 6.9 peratus setahun," katanya yang juga Pengarah Strategik Komunikasi BN, dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, laporan itu juga menunjukkan pendapatan isi rumah bulanan penengah Malaysia telah meningkat kepada RM5,228 pada 2016 berbanding RM4,585 pada 2014 dengan mencatat kadar pertumbuhan 6.6 peratus setahun pada nilai nominal.

"Pada nilai benar, pendapatan isi rumah bulanan penengah meningkat sebanyak 4.4 peratus yang bermaksud pendapatan isi rumah Malaysia berkembang lebih pantas daripada kadar inflasi pada 2.1 peratus sepanjang dua tahun yang lepas.

"Ini juga membuktikan tanggapan bahawa pendapatan di Malaysia tidak meningkat atau kenaikan pendapatan di Malaysia tidak naik seiring dengan kenaikan harga barang dan perkhidmatan, adalah tidak benar," katanya.

Abdul Rahman berkata insiden kemiskinan secara keseluruhannya juga bertambah baik daripada 0.6 peratus pada 2014 kepada 0.4 peratus pada 2016.

"Pada tahun 2009, insiden kemiskinan ialah pada 3.8 peratus. Program Transformasi Ekonomi (yang merupakan) idea Datuk Seri Najib Tun Razak dan mula dilaksanakan pada tahun 2010 juga telah membuahkan hasil apabila lebih ramai isi rumah di Malaysia keluar daripada kepompong kemiskinan," katanya.

-- BERNAMA