Status ‘Ketua Umum’ Datuk Seri Anwar Ibrahim dijangka menjadi salah satu topik hangat yang akan dibincangkan semasa Kongres Nasional Khas hari ini.

Ini merupakan salah satu daripada beberapa pindaan terhadap perlembagaan parti itu sebagai “langkah memenuhi tuntutan semasa politik tanah air.”

“Satu pindaan besar kepada perlembagaan kita ialah untuk menjadikan de facto leader itu satu jawatan rasmi,” menurut satu sumber dalaman PKR.

Pada masa yang sama, Astro AWANI difahamkan terdapat beberapa ahli parti yang sedang menuntut agar Anwar bertanding untuk jawatan presiden.

Pihak itu mahu Anwar mengambil alih jawatan itu daripada Presiden, Dr Wan Azizah Wan Ismail yang mengetuai PKR sejak 1999.

Kongres bakal berlangsung di Dewan Raja Muda Musa, Kompleks Belia dan Kebudayaan Negeri Selangor. Lebih daripada 2000 perwakilan, termasuk dari Sabah dan Sarawak dijangka hadir.

Mengikut satu laporan Keadilandaily, antara pindaan yang akan bakal dibentangkan termasuk jumlah undi untuk Majlis Pimpinan Pusat (MPP) dalam pemilihan parti itu yang dijangka pada April atau Mei tahun depan.

Pindaan-pindaan lain dikatakan bakal memberikan lebih kuasa kepada anggota peringkat akar umbi.

PKR sebelum ini meminda perlembagaan parti sebanyak tiga kali antaranya penyatuan dengan Parti Rakyat Malaysia dan Parti Keadilan Nasional untuk membentuk Parti Keadilan Rakyat yang ditubuhkan pada tahun 2003.

Kali terakhir PKR meminda perlembagaan parti itu ialah pada tahun 2010 di mana parti itu menetapkan pemilihan secara langsung melalui seorang anggota satu undi.

Sementara itu, satu lagi pindaan yang dijangka dibentangkan adalah untuk membenarkan ahli untuk bertanding tanpa dicalonkan.

Menurut Pengarah Komunikasi PKR Fahmi Fadzil lagi, perkara lain seperti komposisi MPP dan biro politik juga akan disentuh.

“Pindaan-pindaan lain juga akan memberi lebih otonomi kepada ketua-ketua di negeri masing-masing seperti di Sabah dan Sarawak,” kata Fahmi.

Untuk Angkatan Muda Keadilan(AMK) dan Wanita pula, Fahmi berkata pindaan baru, kalau diluluskan, akan memberi lebih kuasa kepada sayap-sayap tersebut untuk membuat keputusan atas perkara seperti menurunkan had umur.

"Keadilan adalah sebuah parti berasaskan reformasi, dari semasa ke semasa terdapat keperluan untuk reformasi. Ini adalah salah satu manifestasi itu. Kita akan memperkasa institusi parti," katanya.