Kerajaan Negeri Selangor akan membuat pengumuman rasmi berhubung status tarif air di negeri itu pada Jun depan.

Menteri Besar Selangor Amirudin Shari berkata, selain tarif air pihaknya juga akan membuat pengumuman mengenai status program air percuma dan penjimatan air.

"Kita telah berbincang semalam (Khamis) dalam Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negeri, perbincangan ini bukan hanya melibatkan isu kenaikan tarif, sebaliknya pakej keseluruhan berkaitan air seperti air percuma dan program penjimatan air.

"Kita akan buat pengumuman mengenai isu air ini kemungkinan dalam bulan Jun atau Julai... buat masa ini saya tidak boleh lagi dedahkan keputusan kerajaan negeri berhubung kenaikan kadar tarif air," katanya kepada pemberita.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri program baik pulih dan mengimarah masjid di Masjid At Taqwa di sini pada Jumaat, sempena program lawatan kerja sehari di Daerah Kuala Langat.

Pada Rabu lepas, Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, Dr Xavier Jayakumar mengesahkan enam negeri telah bersetuju menaikkan tarif air bagi menjamin kualiti perkhidmatan dan bekalan air kepada pengguna.

Xavier berkata rundingan menaikkan tarif air giat dijalankan kerana kadar berkenaan tidak pernah disemak dalam tempoh 20 tahun.

BACA: Perak belum putus naik tarif air

Sementara itu, Amirudin berkata pihaknya telah membuat permohonan kepada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) untuk menaik taraf Majlis Daerah Kuala Langat (MDKL) kepada Majlis Perbandaran.

"Setakat ini kerajaan negeri puas hati dengan pencapaian MDKL dan mereka telah melepasi kriteria yang diperlukan untuk dinaik taraf kepada Majlis Perbandaran.

"Namun bergantung juga dengan penilaian KPKT dan kita serahkan kepada KPKT untuk membuat keputusan," katanya.

-- BERNAMA