Malaysia mengambil keputusan menarik diri dari meratifikasi Statut Rom yang diiktiraf di Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) kata Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

"Terlalu banyak kekeliruan berhubung Statut Rom, jadi kita tidak akan teruskan," kata Tun M di satu sidang media di sini pada Jumaat.

Dr Mahathir dalam pada itu turut mendakwa bahawa kekeliruan itu telah dicetuskan oleh seorang individu yang tidak dinamakannya selain menambah tindakan tegas akan tetap diambil tanpa mengira siapa individu berkenaan.


"Kabinet membuat keputusan pagi tadi bahawa kita akan menarik diri daripada meratifikasi Statut Rom kerana kekeliruan.

"Bukan kerana kita rasa ia tidak baik untuk kita, tetapi kerana kekeliruan yang dicetuskan oleh satu individu yang mahu bebas untuk memukul orang dan seumpamanya.

"Jika dia pukul orang lagi, saya akan hantar polis untuk menangkapnya. Saya tak peduli dia siapa.

"Itulah tindakan yang diambilnya untuk menjejaskan nama baik Kerajaan."

Jelasnya, Statut Rom mengenai Mahkamah Jenayah Antarabangsa yang diratifikasi pada 4 Mac lalu tidak memberi impak negatif kepada negara.

Sebaliknya, jika sesebuah negara melakukan tindakan melampau seperti Myanmar dalam pembunuhan etnik Rohingya, ia boleh diambil tindakan di bawah Statut berkenaan.


Beliau berkata demikian selepas sidang media khas di Pejabat Perdana Menteri di Putrajaya pada Jumaat.

Bagaimanapun di Malaysia, jelas Dr Mahathir, tiada masalah diskriminasi, pembunuhan, rompakan, pengabaian kaum atau agama.

Perbezaan dasar negara juga, jelasnya, tidak menjejaskan Statut Rom jika ia dilaksanakan.

“Jika di Eropah, gay itu diterima di sana. Tetapi ia tidak diterima di Malaysia. Jika kita ambil tindakan penjara, itu melampau dan boleh diambil tindakan di bawah Statut Rom.

"Sebaliknya jika ia dibicarakan di mahkamah dan keputusan undang-undang diputuskan, maka ia tidak melanggar Statut Rom," kata Tun Mahathir.


Dengan nada tegas, perdana menteri sekali lagi mengingatkan rakyat di negara ini serta pemimpin bahawa dengan meratifkasi Statut Rom bukan bererti menyerahkan negara.

Sebaliknya itu hanya cubaan pihak tertentu untuk mengelirukan pemahaman rakyat.