Pengusaha stesen minyak yang bertindak menutup stesen atau menaikkan harga sebelum waktu pelaksanaan yang ditetapkan bakal berdepan tindakan penguatkuasaan daripada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK).

Menterinya, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata pihaknya tidak teragak-agak untuk menutup stesen yang tidak bertanggungjawab serta melanggar peraturan yang ditetapkan.

Tegasnya, pihaknya akan mengambil tindakan dalam masa 24 jam laporan dibuat oleh pengguna menerusi sistem e-aduan KPDNKK.

"Buat aduan segera dan tindakan akan diambil dalam 24 jam. Bila laporan dibuat, dengan segera kami (KPDNKK) dapat tahu.

"Ambil gambar kemudian hantar kepada kita dan kita pergi dan tutup stesen minyak itu segera," katanya pada sidang media selepas merasmikan Program Citarasa Malaysia 2017, di sini, hari ini.

Peningkatan harga petrol selama enam minggu berturut-turut menyebabkan ramai pengguna media sosial mengeluh selain mendakwa ada stesen minyak yang menaikkan harga lebih awal.

Malah, ada netizen yang mendakwa terdapat stesen minyak yang menghentikan operasi sebaik mendapat maklum kenaikan harga baharu pasaran yang akan berkuat kuasa setiap Khamis.

Ada netizen yang mendakwa terdapat stesen minyak yang menghentikan operasi sebaik mendapat maklum kenaikan harga baharu pasaran yang akan berkuatkuasa setiap Khamis. - Foto Twitter

Bagaimanapun, kata Hamzah, pihak KPDNKK tidak menerima sebarang aduan rasmi daripada pengguna berhubung perkara tersebut.

Dalam perkembangan sama, Hamzah berkata pihaknya masih mengadakan perbincangan dengan pihak berkepentingan dalam menentukan formula terbaik dalam pasaran tempatan.

"Formula akan saya maklumkan bila telah selesai perbincangan. Saya kata mekanisme penetapan harga minyak setiap minggu akan teruskan, tidak ada perubahan.

"Polisi kekal, akan diumumkan tiap-tiap minggu. Formula perkiraan itu berbeza kerana kita nak lihat dari segi pengusaha stesen petrol, syarikat minyak dan juga pengguna supaya tidak ada masalah nanti di masa hadapan," katanya.