Pelakon aksi terkenal Hollywood, Steven Seagal, menghadap Sultan Johor, Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar pada Isnin.

Bekas pengajar seni mempertahankan diri itu mengadakan pertemuan tertutup ketika makan tengah hari bersama Sultan Ibrahim selama dua jam di Forest City.

Seagal terkenal dengan lakonan filem blockbuster seperti Under Siege dan Hard to Kill.

Beliau juga pernah membintangi siri televisyen realiti popular, Steven Seagal: Lawman, dengan memainkan peranan sebagai Timbalan Sherif di Louisiana, Amerika Syarikat.

Bulan lalu, pelakon berusia 65 tahun itu bertemu dengan Presiden Filipina, Rodrigo Duterte, bagi membincangkan beberapa perkara termasuk kegiatan penyalahgunaan dadah.