Bekalan dan stok makanan asas dijamin mencukupi bagi menampung penggunaan pada bulan Ramadan, Hari Raya Aidilfitri dan perayaan Gawai.

Timbalan Ketua Menteri Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, bekalan itu mencukupi bagi tempoh kitaran tiga bulan.

"Untuk itu rakyat di negeri ini tidak perlu risau dengan bekalan makanan... Ia mencukupi.

"Jangan hanya kerana risau pembelian panik berlaku," katanya pada sidang media tentang program bantuan makanan semasa PKP di sini pada Jumaat.

Selain itu, Awang Tengah menegaskan, bekalan barangan makanan keperluan asas penduduk di pedalaman terutama di pusat jualan tidak terjejas kerana kuota pada bulan Mei akan ditambah dengan kuota bagi bulan Jun.

Sementara itu, beliau memberitahu, setakat 1 Januari sehingga 4 Mei ini, KPDNHEP Sarawak telah melaksanakan pemeriksaan sebanyak 17,200 premis perniagaan meliputi bandar dan luar bandar.

"Daripada pemeriksaan itu, sebanyak 408 kes dengan nilai rampasan sebanyak RM 2,443,782.78 dan jumlah kompaun sebanyak RM 105,650.00.

"KPDNHEP Sarawak tidak akan berkompromi dengan mana-mana peniaga yang mengambil kesempatan dalam tempoh PKP ini dan akan menyiasat semua aduan pengguna yang dikemukakan kepada pihak kementerian," katanya.