Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menyangkal dakwaan dan khabar angin yang menyatakan stok ubat-ubatan bagi merawat jangkitan influenza di fasiliti KKM tidak mencukupi atau sudah kehabisan stok.

Menurut Program Perkhidmatan Farmasi KKM, berikutan jangkitan influenza yang merebak dalam negara, pihak KKM turut mengambil inisiatif untuk mendapatkan bekalan tambahan daripada pembekal alternatif dalam memastikan stok ubat-ubatan mencukupi dan memenuhi permintaan.

Buat masa ini, kedudukan stok Oseltamivir 75mg Capsule dan Oseltamivir 60mg/5ml Oral Suspension adalah mencukupi bagi menampung keperluan rawatan inflluenza di fasiliti KKM.

Jangkitan influenza turut dilaporkan boleh menyebabkan komplikasi radang paru-paru (pneumonia) yang seterusnya boleh membawa maut.

Sementara itu, Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Nor Hisham Abdullah dalam kenyataannya pada Isnin menjelaskan kejadian kluster radang paru-paru yang melanda Wuhan, China masih dalam siasatan.

Dr Nor Hisham berkata, pihak berkuasa China bagaimanapun, mengesahkan jangkitan itu bukanlah jangkitan influenza, avian flu, adenovirus, Middle East Respiratory Syndrome coronavirus (MERS-CoV) ataupun Severe Acute Respiratory Syndrome (SARS).

"Pihak Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) memaklumkan bahawa insiden itu sedang dipantau rapi namun buat masa ini pihak WHO tidak mengeluarkan sebarang larangan lawatan dan perdagangan dengan China," katanya.

KKM memandang serius mengenai kejadian ini selain akan terus memantau situasi dan memaklumkan sebarang perkembangan daripada pihak WHO dari semasa ke semasa, tambah beliau.

Antara langkah kesiapsiagaan yang dilaksanakan KKM bagi menghadapi potensi penularan penyakit ini adalah pemakluman berkaitan kejadian kluster ini dan langkah-langkah pencegahan dan kawalan infeksi kepada anggota KKM di semua peringkat termasuk Pintu Masuk Antarabangsa Negara; memberi penekanan dan memperkukuh aktiviti saringan demam sedia ada dalam kalangan pengembara oleh anggota yang bertugas di Pintu Masuk Antarabangsa Negara.

Saringan pesakit di Klinik Kesihatan dan Jabatan Kecemasan hospital diperkukuhkan bagi memastikan kes-kes yang disyaki akan dirujuk dan dikendalikan dengan mematuhi langkah-langkah pencegahan dan kawalan infeksi; dan sekiranya terdapat kes yang disyaki, individu itu akan dirujuk ke fasiliti kesihatan berhampiran untuk pemeriksaan lanjut.

Menurut WHO sehingga 5 Jan, sebanyak 59 kes dikenalpasti di China mempunyai kaitan dengan kejadian kluster itu dan daripada jumlah kes itu, tujuh kes dalam keadaan teruk, manakala yang lain dilaporkan stabil dan tiada kematian dilaporkan.

"Pihak WHO juga melaporkan buat masa ini tiada human-to-human transmission. Siasatan masih dijalankan dan sebanyak 121 hubungan rapat kes-kes itu telah dikesan dan diletakkan di bawah pemerhatian," katanya lagi.

-- BERNAMA