Keputusan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) secara keseluruhannya menunjukkan peningkatan dalam semua aspek, termasuk peratusan calon yang mendapat A serta peratusan lulus penuh.

Pengerusi Majlis Peperiksaan Malaysia (MPM) Prof Datuk Dr Mohd Noh Dalimin ketika mengumumkan perkara itu berkata peratusan calon yang mendapat lulus penuh dalam satu hingga lima mata pelajaran juga meningkat daripada 96.85% pada tahun 2013 kepada 97.81% pada tahun 2014.

Selain itu, beliau turut menyentuh tentang jurang pencapaian di antara pelajar luar bandar dan bandar berdasarkan Min Purata Nilai Gred Keseluruhan (PNGK).

"Berdasarkan min tersebut, didapati jurang perbezaan pencapaian tersebut semakin mengecil iaitu 2.64 bagi pelajar bandar berbanding 2.54 bagi pelajar luar bandar.

"Perbezaan ini hanya 0.1, dimana jika dibandingkan dengan keputusan STPM 2013, ianya 0.11," kata Noh dalam sidang media di bangunan Majlis Peperiksaan Malaysia di Selayang pada tengah hari tadi.

Tambah Noh, peratusan pencapaian calon mencatat PNGK 4.00 meningkat kepada 0.91% pada tahun 2014 berbanding 0.89% pada tahun sebelumnya.

Ini selari dengan PNGK negara bagi STPM 2014 yang meningkat kepada 2.62 berbanding 2.57 pada STPM 2013.

Apabila diminta mengulas mengenai peningkatan pencapaian, Noh berkata sistem pentaksiran berasaskan penggal yang dimulakan pada tahun 2013 sudah mula membuahkan hasil.

"Kita lihat pencapaian pelajar semakin meningkat dan kita berharap pola ini akan berterusan bagi tahun-tahun yang akan datang," tambah Noh.

Secara keseluruhannya, kesemua 23 mata pelajaran yang ditawarkan dalam peperiksaan STPM 2014 telah mencatatkan peratusan lulus penuh melebihi 60 peratus, iaitu Gred C dan ke atas.

MPM juga turut memilih 11 pelajar terbaik daripada 390 pelajar yang mendapat PNGK 4.00 untuk diberikan anugerah Pelajar Cemerlang.

Kriteria yang diambil kira bagi STPM adalah daripada segi Purata Nilai Gred Keseluruhan (PNGK) negara, peratusan calon yang mendapat PNGK 4.00, PNGK 3.50 ke atas, PNGK 2.00 hingga 3.49, peratus calon yang mendapat A dalam lima dan empat mata pelajaran, peratus lulus penuh dan penurunan peratus calon gagal.