Struktur parit dan saliran yang tidak dinaik taraf seiring dengan pembangunan sesuatu kawasan menyebabkan saliran itu gagal menampung kapasiti hujan yang banyak di Pulau Pinang baru-baru ini.

Malah, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Shahidan Kassim berkata pembangunan yang rancak selepas tahun 2008 telah memusnahkan ekosistem dan ekologi di negeri itu.

Tegasnya, banjir yang melanda Pulau Pinang baru-baru ini diburukkan lagi dengan pembangunan di cerun atau lereng bukit serta penambakan laut.

"Infrastruktur parit dan saliran ini perlu dinaik taraf dengan sewajarnya. Pengurusan kawasan tadahan hujan perlu diambil kira kerana pembangunan mengurangkan keupayaan tanah untuk menyerap air. Ini menyebabkan air larian bertambah.

"Dalam keadaan banjir baru-baru ini, air turun bersama selut.. airnya berwarna kuning. Inilah akibat pemotongan bukit," katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai menjawab soalan Datuk Shabudin Yahaya (BN-Tasek Gelugor) yang meminta penjelasan punca banjir besar berlaku di Pulau Pinang baru-baru ini walaupun terdapat elemen hujan lebat yang luar biasa dan fenomena air pasang di negeri itu.

Sehingga 7 Nov lepas, Shahidan berkata jumlah mangsa banjir di negeri itu adalah seramai 7,680 melibatkan 1,722 keluarga yang ditempatkan di 71 pusat pemindahan.

Dalam pada itu, katanya Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) akan mengagihkan bantuan wang ihsan kepada mangsa-mangsa banjir di negeri itu selepas menerima senarai nama mangsa daripada Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri.