Suami didakwa pukul isteri dengan batang paip PVC

Suami didakwa pukul isteri dengan batang paip PVC
Tertuduh didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan dengan menggunakan sebatang paip PVC terhadap isterinya.
KUALA TERENGGANU: Seorang lelaki mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas pertuduhan memukul isterinya dengan batang paip PVC.

Mengikut pertuduhan tertuduh Mustaffa Ali, 37 tahun, didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan dengan menggunakan sebatang paip PVC terhadap isterinya, Wan Hamidah Wan Ahmad, 31.
Kesalahan itu di lakukan di sebuah rumah di Kampung Belukar Sukai, Kuala Terengganu, kira-kira jam 4.30 pagi, pada 6 Januari lalu.

Dengan itu, tertuduh didakwa melakukan kesalahan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 326(A) Kanun Keseksaan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Wan Mohd Izzat Wan Abdullah di hadapan hakim Wan Azimah Yaacob.

Mahkamah menetapkan 11 Febuari depan sebagai sebutan semula kes dan membenarkan tertuduh diikat jamin RM12,000 dengan seorang penjamin.