Sepasang suami isteri antara enam yang ditahan dipercayai terbabit dengan aktiviti pengedaran dadah di sekitar bandaraya ini.

Taktik terbaharu yang digunakan pasangan ini bagi mengelak kegiatan mereka dikesan pihak berkuasa ialah dengan menyewa sebuah rumah untuk menjalankan kegiatan membungkus serta mengedar dadah.

Menurut Ketua Polis Kedah, Datuk Zainuddin Yaacob, pasangan berkenaan ditahan susulan tangkapan seorang lelaki di tepi jalan di Jalan Lencong Barat, dekat sini sekitar pukul 4.20 petang semalam.

Beliau berkata, lelaki berusia 42 tahun itu ditahan ketika memandu kereta mewah dan hasil pemeriksaan menemui satu paket plastik lutsinat dadah jenis heroin seberat 455 gram.

Hasil soal siasat ke atas suspek lelaki itu, pasukan dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar yang diketuai Asisten Superintendan Mohd Radzi Abdul Rahim telah menyerbu rumah pasangan suami isteri terbabit di Taman Seri Impian.

"Suami berumur 44 tahun (manakala) isteri 40 tahun dan kita rampas dadah dalam bentuk paket teh Cina yang beratnya seberat 1,036 gram yang kita syaki dadah syabu," katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah, hari ini.

Dua buah kenderaan yang turut dirampas oleh polis. - Gambar Astro AWANI

Zainuddin berkata, susulan tangkapan itu, anggotanya menahan dua lelaki lagi berusia 37 dan 42 tahun ketika sedang menunggang dua buah motosikal pada jam 7.30 malam di tepi jalan berhampiran sebuah sekolah di Pokok Sena.

Beliau berkata, hasil pemeriksaan ke atas mereka menemui tiga bungkusan plastik berisi ketulan mampat disyaki dadah jenis syabu dianggarkan seberat 3,106 gram.

Hasil semakan rekod mendapati, empat suspek lelaki mempunyai rekod kesalahan lampau termasuk kes dadah dan ujian saringan awal mendapati kesemua mereka positif dadah jenis methapetamine.

Manakala, isteri salah seorang suspek yang ditahan didapati negatif dadah dan tidak mempunyai rekod sebelum ini.

Zainuddin berkata, kesemua dadah terbabit dirampas dan bernilai RM188,000.

Beliau berkata, selain itu, pihaknya turut menyita sebuah kereta yang membabitkan keseluruhan nilai sitaan berjumlah RM45,516.

Kesemua suspek direman tujuh hari bermula hari ini sehingga 2 Ogos depan untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 yang mana sabit kesalahan boleh dihukum gantung.