Polis menahan empat individu, termasuk sepasang suami isteri dan anak perempuan mereka berusia 13 tahun dalam satu serbuan ke atas sebuah kereta di tempat letak kereta restoran makanan segera di Jalan Tambun, Sunway City, dekat sini, pada Selasa.

Dalam serbuan kira-kira jam 3 pagi itu, polis turut menjumpai dadah jenis heroin, dengan anggaran berat 1,007 gram, bernilai kira-kira RM15,000, di dalam kereta jenis Wira Aeroback.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Mohd Ali Tamby berkata, pasangan suami isteri itu berumur 44 dan 47 tahun manakala seorang lagi rakan lelaki mereka berumur 48 tahun.

Menurutnya, anak perempuan pasangan itu merupakan pelajar sebuah sekolah menengah kebangsaan di Pulau Pinang.

“Dadah itu ditemui berdekatan tempat brek tangan dan dipercayai untuk dijual,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Ali berkata, ujian awal air kencing menunjukkan kedua-dua suspek lelaki itu positif dadah jenis morphine manakala kedua-dua suspek perempuan pula negatif dari sebarang dadah.



Di samping itu, katanya, kedua-dua lelaki itu juga mempunyai rekod jenayah lampau manakala kedua-dua perempuan tidak mempunyai rekod.

Suspek lelaki dan perempuan dewasa direman selama lima hari manakala suspek 13 tahun direman empat hari untuk membantu siasatan.

Kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.