Sepasang suami isteri hari ini dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kota Bharu atas tuduhan menyebabkan kecederaan ke atas seorang wanita tahun lalu.

Bagaimanapun pasangan terbabit tidak mengaku bersalah dan mohon dibicarakan di hadapan Hakim Ahmad Bazli Bahruddin.

Mengikut pertuduhan, pasangan yang berusia 39 dan 40 tahun itu didakwa menyebabkan kecederaan kepada seorang wanita yang ketika itu berusia 19 tahun dengan menggunakan paip getah, senduk besi, batang penyapu dan penyepit kain pada jam 8 pagi hingga 12 tengah malam di sebuah rumah di Kubang Kerian pada 12 Oktober tahun lalu.

Tertuduh telah didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebatan atau mana-mana dua daripada hukuman itu.

Kedua-dua tertuduh melalui peguam mereka, Mohd Norazihan Adnan, memohon pasangan terbabit diikat jamin kerana tertuduh wanita merupakan penjawat awam iaitu pegawai perubatan manakala tertuduh lelaki hanya bekerja sebagai peniaga kecil-kecilan dan perlu menanggung tiga anak yang masih kecil.

Timbalan Pendakwa Raya, Norazlinawati Mohd Arshad bagaimanapun memohon mahkamah agar tidak membenarkan kedua-dua tertuduh diikat jamin kerana dikhuatiri akan menganggu mangsa.

Mahkamah bagaimanapun membenarkan pasangan itu diikat jamin sebanyak RM5,000 setiap seorang dengan seorang penjamin dan tidak dibenarkan menganggu mangsa serta saksi.

Mahkamah menetapkan 20 Mei ini sebagai tarikh sebutan semula kes.